Kalaulah hendak dikira pemberian dan anugerah Yang Maha Esa kepada kita, terasa kerdillah diri kita ini. Bagaimana pula jika diambil kira pertolongan orang kepada diri kita; yang kita dapat dari ibubapa, saudara-mara, jiran dekat dan jauh, sahabat-handai, taulan sekampung dan orang-orang lain yang pernah menolong diri kita.
Saya merasakan banyak lagi yang kita dapat lakukan untuk membalas semua yang telah kita terima samada bentuk wang ringgit, perkhidmatan, pertolongan, nasihat dsb.
Kadang2 kita mungkin lupa, bila kita pulang kekampung mungkin dah berkereta nampak orang-orang kampung kita kenal, mungkin kita boleh meluangkan masa mengajak mereka menumpang jika mereka memerlukan, membawa mereka minum atau makan, walaupun sekadar roti canai dan bertanya khabar dan membekalkan sedikit juadah pulang.
Mereka ini saya rasa, bukan hendak meminta wang dari kita, tetapi memerlukan sedikit perhatian dan berkongsi pengalaman. Kadang-kadang kita lupa bahawa perkara seperti ini, amat dituntut apatah lagi jika mereka ini pernah bersahabat dengan arwah ayah atau saudara-saudara kita.
Kadang-kadang dalam kesebukan, kita menidakkan golongan ini, dengan tidak memberi kesempatan masa kepada mereka, bayangkan bila kita berada di usia senja nanti. Masih adakah anak-anak muda yang berhenti sejenak, bertanya khabar tentang keadaan kita dan keluarga. Ia tak semestinya terikat hanya pada sesuatu acara dsb, tetapi bila ada kesempatan hendaklah kita gunakan sepenuhnya, kadang-kadang kesempatan seperti itu susah untuk berulang lagi.
Sekadar renungan di pagi Sabtu ini. Oleh sapalah sesiapa yang lebih tua dari kita, mungkin mereka pernah mengenali saudara tua kita sedikit sebnyak bleh menimbulkan nostalgia kehidupan mereka.
Wassalam.